Wellington UMNO Club

United Malays National Organization New Zealand

Tarikh: 6 Julai 2009 dan 8 Julai 2009
Tempat: Kingsgate Hotel (Steeple Conference Room dan Armada Room), Palmerston North ,
New Zealand.
Masa: 6.30 petang- 10.30 malam

Meneruskan kesinambungan aktiviti tahunan Kelab Umno Wellington (KUW), Pertandingan
Bahas Ala Parlimen diadakan lagi pada tahun ini sempena BERSATU games 2009 di Palmerston
North. Pertandingan bahas yang julung-julung kali diperkenalkan oleh KUW Wellington pada
tahun lalu, mendapat sambutan yang menggalakkan daripada kelab-kelab pelajar Malaysia New
Zealand pada awalnya, namun atas sebab-sebab yang tidak dapat dielakkan, hanya tiga kelab
yang mampu mengambil bahagian. Kelab-kelab yang mengambil bahagian adalah Kelab UMNO
Wellington, Kelab UMNO Christchurch, dan Massey Universtity Malaysian Students Association
(MUMSA). Kelab UMNO Wellington menghantar dua pasukan manakala kelab-kelab lain
menghantar satu pasukan masing-masing. Pertandingan bahas ini bertujuan untuk
memartabatkan bahasa melayu sebagai bahasa rasmi Negara di samping memberi peluang
kepada para pelajar Malaysia menghargai bahasa ibunda sepanjang berada di rantau orang dan
juga dapat mengeratkan lagi ukhuwah di antara pelajar-pelajar Malaysia.

Malam pertama perdebatan 6 Julai 2009 menyaksikan persaingan sengit antara dua buah
kumpulan bertempat di Steeple Conference Room, Kingsgate Hotel, Palmerston North.
Kumpulan pertama yang beraksi di pentas perbahasan adalah Kelab UMNO Wellington 1 dan
Massey Universtity Malaysian Students Association (MUMSA) manakala persidangan bahas
kedua menemukan Kelab UMNO Christchurch dan Kelab UMNO Wellington 2. Topik hangat
yang diusulkan dalam acara bahas pada tahun ini iaitu “Pembelajaran dan Pengajaran Sains dan
Matematik dalam Bahasa Inggeris Wajar diteruskan” mendapat reaksi yang hangat daripadapara pelajar memandangkan Malaysia dalam penantian mengenai keputusan program terbabit.

Dewan persidangan pada malam itu gamat dengan sorakan dan gelak tawa para penonton yang
terhibur dengan gelagat para pembahas yang lantang bersuara dalam menegakkan hujah
masing-masing di samping ragam sesetengah pembahas yang mencuit hati dengan aksi
bersahaja mematahkan hujah pihak lawan. Pusingan awal debat tersebut diadili oleh tiga juri
yang diketuai oleh Pn Siti Jalilah Abd Manap memutuskan bahawa kedua-dua buah kumpulan
dari Kelab UMNO Wellington memenangi pusingan tersebut dan bakal bertemu di gelanggang
bahas seterusnya bagi menentukan siapakah yang bakal bergelar juara.

Gelanggang debat malam kedua, 8 Julai 2009 mengiyakan kehebatan Kelab UMNO Wellington
apabila kedua-dua buah kumpulan dari KUW bertemu ruas. Tajuk matang yang dibahaskan pada
malam tersebut ialah “Malaysia: Aspirasi Pemimpin dan Inspirasi Rakyat”. Bertempat di Armada
Room, Kingsgate Hotel, pertandingan akhir Pertandingan Bahas Ala Parlimen tersebut
menyaksikan kepetahan para pembahas dari windy city mengutarakan idea dan pendapat
masing-masing dalam memenangi hati para juri dan penonton. Para penonton kelihatan teruja
dan terpegun dengan lagak gaya para pembahas yang kelihatan begitu gah dalam mengusulkan
idea dan pendirian masing-masing. Pihak kerajaan yang lantang berpaksi pada pendirian mereka
kelihatan tenang apabila pendirian mereka dipertikaikan oleh delegasi pembangkang yang tidak
kurang hebatnya dalam memanipulasi idea pihak kerajaan.

Setelah lebih kurang satu jam bertarung minda dan emosi, dewan persidangan kembali diam
apabila para juri membuat perhitungan siapakah yang layak bergelar juara. Gemuruh pihak
pembangkang reda apabila juri sepakat menobatkan mereka sebagai pemenang sekaligus
mengangkat salah seorang daripada pihak pembangkang, Mohd Aizat Omar sebagai Pembahas
Terbaik pada malam itu. Walau bagaimanapun, kemenangan pihak pembangkang tidak
bermakna kekalahan total kepada pihak kerajaan apabila menyaksikan bahawa hanya beberapa
mata yang membezakan antara kedua-dua belah pihak. Sesi penyampaian hadiah disampaikan
oleh ketua juri, Lt Col Ahmad Faiezzelan Abd Karim yang turut memberi pandangan bahawa
pertandingan terbabit amat sengit dan harus diteruskan pada tahun akan datang
memandangkan penglibatan yang aktif di samping sambutan yang amat menggalakkan daripada
para pelajar.

Pertandingan tersebut berakhir tepat pada pukul 10.30 malam dan majlis bersurai. Kelab UMNO
Wellington yang menganjurkan acara bahas tersebut merakamkan ribuan terima kasih yang
tidak terhingga kepada mereka yang terlibat dalam menjayakan acara ini, secara langsung atau
tidak langsung.

Tags:

No Comments

You must be logged in to post a comment.