Career Workshop dan Tabung Amal Ramadhan
Pada 21 Ogos yang lalu bersamaan hari Jumaat, 29 Shaaban 1430 Kelab Umno Wellington dengan jayanya telah menganjurkan Career Workshop (Bengkel Kerjaya) di Student Union Cafe, Kelburn Campus, Victoria University of Wellington. Kira – kira seramai 70 pelajar Malaysia di Wellington menghadiri majlis tersebut. Tidak ketinggalan juga staf -staf Suruhanjaya Tinggi Malaysia yang turut hadir memberikan sokongan. Pesuruhjaya Tinggi Malaysia, TYT Dato’ Hasnudin Hamzah tidak melepaskan peluang untuk hadir pada malam tersebut serta diberikan penghormatan untuk merasmikan majlis.
Berpanelkan 4 jemputan yang sangat berpengalaman dalam bidang mereka, Dr Rosli b. Mohamed selaku Pengarah MSD (Malaysian Students Department) mengambil kesempatan untuk mengelola bengkel kerjaya tersebut. Berformatkan forum, setiap panel diberikan peluang membentang dan berinteraksi sesama mereka . 4 panel tersebut terdiri daripada:
1) En. Khairul Kamarudin
PHD in Accountancy
2) Cik Khadijah Hilmun
PHD in Physics (Nano-Technology)
3) Lt. Kolonel Ahmad Faizzelan Abd Karim
Malaysian Defence Adviser
4) Puan Nor Ruzaini bt Jailani
Malaysian High Commision’s Student Attache
Kupasan serba sedikit berkaitan kerjaya dalam bidang perakaunan, militari, pendidikan dan penyelidikan dalam Nano-Technology dibuat dan pelajar-pelajar juga diberikan peluang mengemukakan soalan semasa atau sesudah sesi pembentangan.
Sebelum menutup tirai Career Workshop, setiausaha Kelab Umno Wellington, saudari Shamimi Shamsuddin telah tampil ke hadapan dan melancarkan Tabung Amal Ramadhan sempena kehadiran bulan yang mulia tersebut. Hasil sumbangan akan disalurkan kepada dua pihak iaitu ISMA NZ sebagai sumbangan kemanusiaan kepada warga Palestin bersempena kempen “Ayuh Bantu Palestin” tahun ini. Hasil kutipan juga bakal disalurkan kepada Wellington Refugee Homework Club sebagai sumbangan kemasyarakatan kepada anak-anak pelarian bagi meningkatkan kualiti pembelajaran mereka. Majlis yang bermula jam 7.30 malam diakhiri dengan Jamuan Makan Malam sekitar jam 9.35 malam.
Di sini Kelab UMNO Wellington sekali lagi ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada hadirin yang sudi hadir ke majlis tersebut. Semoga kehadiran Ramadhan kali ini menjadi satu bulan yang lebih bermakna buat kita semua. Marilah beramal di samping berusaha meningkatkan prestasi akademik mahupun kerjaya kita semua.