Wellington UMNO Club

United Malays National Organization New Zealand

Archive for September, 2009

Sep-29-09

Tabung Amal Ramadhan (Update)

posted by Mimi

Assalamualaikum w.r.t.b dan Salam Sejahtera

Sempena bulan Ramadhan baru-baru ini, Kelab UMNO Wellington telah menjalankan kutipan wang bagi mengisi Tabung Amal Ramadhan. Alhamdulillah, sukacita dimaklumkan bahawa pihak kami telah berjaya mengumpul sebanyak NZD 680.00 sepanjang kutipan dijalankan. Alhamdulillah, wang tersebut telah pun kami serahkan kepada kedua-dua pihak iaitu:

  1. ISMA NZ bersempena Road Show Palestin

Kelab UMNO Wellington telah dijemput oleh Ikatan Muslimin Malaysia-New Zealand (ISMA NZ) untuk berganding bahu dalam mempromosikan dan menjayakan Road Show Palestin di Wellington.

  1. Wellington Somali Council Refugee Homework Centre

Sumbangan akan disalurkan kepada Wellington Somali Council Refugee Homework Centre sebagai suatu bantuan kemasyarakatan bagi meningkatkan kualiti pembelajaran anak- anak pelarian yang terdiri daripada berbagai etnik termasuk Somalia, Ethiopia, Afghanistan, Palestine, Iraq, China, dan New Caledonia. Pelajar-pelajar ini kebanyakannya sudah menetap lama di New Zealand namun tetap menghadapi cabaran menempuh sistem pembelajaran dan sosial yang jauh berbeza dari komuniti asal mereka.

Akhir kata, Kelab UMNO Welington ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua pihak terlibat yang telah menyumbangkan tenaga dan wang bagi menjayakan Tabung Amal Ramadhan ini. Jazakumullah Khairan Kasiran.

Kami juga ingin mengambil kesempatan ini sekali lagi mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri Maaf Zahir Batin kepada anda semua. Semoga Aidilfitri kali ini lebih bermakna buat kita semua.

Wassalam.

Yang benar,

Jawatankuasa

Kelab Umno Wellington

Tags:

<!– @page { margin: 0.79in } P { margin-bottom: 0.08in } A:link { so-language: zxx } –>

Kelburn, 29 Ogos – Roadshow Palestin “ Ayuh Bantu Palestin!” yang merupakan anjuran bersama ISMA NEW ZEALAND, WMSO, UMNO Wellington dan Aman Palestin Malaysia telah berlangsung dengan jayanya dan mendapat sambutan hebat daripada warga Wellington. Walaupun majlis belangsung pada bulan puasa, ia tidak menghalang warga Wellington untuk sama-sama memeriahkan majlis ini. Sekitar pukul 11.30 pagi lagi, Student Union Hall telah dipenuhi oleh para pengunjung yang bukan sahaja datang dari Wellington, malah dari Palmerston North dan Auckland.

Majlis juga dihadiri tetamu kehormat Dato’ Hasnudin Hamzah, Pesuruhjaya Tinggi Malaysia di New Zealand, pegawai-pegawai Suruhanjaya Tinggi Malaysia di New Zealand, saudara Imran Razali selaku wakil ISMA NZ dan Prof. Madya Dr Zainur Rashid bin Zainuddin selaku perunding Aman Palestin Malaysia, sekaligus penceramah jemputan untuk majlis ini.

Pada permulaan majlis, hadirin telah diberi peluang untuk menghayati kisah-kisah perjuangan dan keadaan sebenar yang berlaku di Palestin di sudut pameran, di samping memberi sumbangan melalui silent bidding dan jualan makanan dan merchandise Selain itu, hadirin juga berpeluang menonton video yang berkisar tentang Palestin sebelum majlis rasmi bermula.

Selepas solat Zohor, majlis diteruskan dengan ucapan Pengarah Roadshow Palestin (Wellington), saudari Aisyah Amalina Mohd Noor dan seterusnya ucapan aluan dari wakil ISMA NZ oleh saudara Imran Razali. Untuk melengkapkan lagi majlis Roadshow Palestin Wellington, Dato’ Hasnudin Hamzah telah dijemput untuk memberi ucapan dan seterusnya merasmikan Roadshow Palestin peringkat New Zealand.

Setelah itu, tetamu jemputan khas, Prof. Madya Dr. Zainur Rashid Zainuddin membuka bicara dengan tayangan video realiti keadaan di Palestin yang telah menarik perhatian hadirin. Pembentangan pertama Dr. Zainur Rashid Zainuddin mengungkit kembali akan sejarah Palestin dan hubungan serta kepentingannya kepada umat Islam. Isi-isi yang disampaikan oleh Dr Zainur Rashid menyedarkan hadirin pada malam itu betapa Palestin itu adalah ibarat jantung umat Islam yang telah dirobek tetapi umat Islam sendiri tidak merasainya.

Sementara itu, majlis juga berehat sebentar dengan persembahan dari pelajar-pelajar di Wellington. Persembahan yang disampaikan sungguh hebat dan memukau para penonton. Meraka mendendangkan lagu Damai Yang Hilang dan Islami Ya Quds yang juga diiringi dengan slide show. Kemudian, majlis diteruskan dengan pembentangan kedua menghuraikan kebangkitan rakyat Palestin menentang penjajahan. Ini menunjukkan bahawa rakyat Palestin tidak akan berdiam diri dengan penjajahan Zionis dan akan berterusan berjuang demi membebaskan Palestin yang tercinta. Dari pembentangan ini, semangat dikalangan hadirin untuk menjadi sebahagian dari perjuangan rakyat Palestin semakin membara.

Pada majlis ini pihak penganjur telah berjaya mengumpul sejumlah NZ$7300 hasil dari garage sale, jualan amal dan kutipan sumbangan. Wang ini diserahkan kepada Dr Zainur Rashid yang mewakili Aman Palestin Malaysia.

ISMA NZ (Wellington), WMSO, UMNO Wellington dan Aman Palestin mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada warga Wellington yang hadir memeriahkan lagi majlis ini. Sokongan padu daripada semua hadirin serta kesungguhan tenaga kerja untuk menjayakan majlis ini membuktikan bahawa kita masih mempunyai sikap kepedulian yang tinggi terhadap isu umat Islam terutamanya Palestin. Diharapkan sikap ambil berat dan semangat yang tinggi untuk membebaskan umat Islam dari belenggu kekejaman pihak musuh tidak hanya berakhir di sini.

Dilaporkan oleh:

Jawatankuasa RSP-Wellington

Tags:
Login