Kelab UMNO New Zealand
Kelab UMNO Auckland merupakan kelab UMNO luar negara yang pertama sekali ditubuhkan di bumi Aotearoa. Setelah itu, pada tahun 2006, Kelab UMNO ditubuhkan pula di Wellington, Christchurch dan Otago. Bagi memastikan kerjasama yang utuh agar kelab ini dapat memberikan manfaat sepenuhnya kepada rakyat Malaysia yang berada di New Zealand, keempat-empat kelab tersebut kini bernaung di bawah satu nama iaitu Kelab UMNO New Zealand. Walau bagaimanapun, keempat-empat kelab ini mempunyai struktur masing-masing dan jawatankuasanya juga berlainan.
Kelab UMNO New Zealand bernaung terus di bawah Sekretariat Kelab UMNO Luar Negara yang beribu pejabat di Menara Dato’ Onn, Kuala Lumpur. Antara lain kandungan dalam asas dan tujuan Perlembagaan Kelab UMNO Luar Negara menyebut bahawa penubuhan kelab ini adalah bagi mendukung dan mempertahankan kedaulatan negara, Perlembagaan Negara dan Raja Berpelembagaan serta merapatkan hubungan dan kerjasama antara kaum bagi melahirkan satu masyarakat Malaysia yang kuat dan bersatu.
Kelab UMNO Luar Negara bukanlah bertujuan politik, malah penubuhannya lebih tertumpu kepada kebajikan ahli serta menjadi platform bagi para pemuda dan pemudi Malaysia untuk memperkembang dan mengetengahkan kebolehan, keyakinan dan hasil pemikiran masing-masing mengikut haluan yang positif. Aktiviti-aktiviti yang dianjurkan tidaklah terbatas kepada hal-hal serius atau kecemerlangan akademik sahaja, malahan kelab sangat menitikberatkan kemesraan dan ikatan silaturrahim antara ahli-ahli serta kebolehan memimpin dan berkomunikasi. Hal ini demikian bagi memastikan bakal peneraju negara Malaysia terdiri daripada individu-individu yang celik akal, celik hati dan celik agama.
MARTABAT - BANGSA - GEMILANG